“Jangan main dekat longkang!”

“Jangan lompat longkang tu. Besar tu!”

“Longkang tu dalam. Jatuh kang!

Lalu membuatkan langkah kita terbantut seketika.  

Itulah pekikkan yang sering kita dengar semasa kecil tak kisahlah sama ada ibubapa kita, cikgu kita, pakcik dan makcik sekeliling kita. Waktu itu longkang seolah-olah digambarkan seperti tempat bahaya bagi kita semua. 

Semakin kita besar, longkang dikaitkan dengan nilai estetiknya; bau, kebersihan, struktur.  

“Eeee, busuknya!” sambil menutup hidung

“Kotor gila! Ada tikus dengan lipas pula tu.”

“Longkang ni dah pecah lah. Kena report ni.

Pernah tak kita terfikir apa sebenarnya itu longkang? Berdasarkan Kamus Dewan, longkang adalah parit yang mengalirkan air kotor. Haaa.. AIR KOTOR? Tetapi sebenarnya longkang ialah sistem pengairan bagi AIR HUJAN SAHAJA. Mungkin disebabkan kebiasaan kita mengalirkan air kotor ke longkang telah menyumbang dan mencorak definisi longkang. Kita menjadikan longkang untuk mengalirkan segala-galanya; baik air bersih mahupun kotor, baik kari mahupun air basuhan baju. Biarlah air itu mengalir ke mana yang telah “diaturkan” oleh kita. Sepatutnya, longkang harus bersifat kering dan bersih. Hanya basah apabila hujan membasahi bumi.

Kita boleh lihat longkang di sekitar kita; ada di mana-mana. Ada yang kecil, ada yang besar, ada yang bentuk U, ada yang bentuk V. Semua ini bergantung kepada ketampungan pengairan sesuatu kawasan mengalirkan air hujan. Semakin besar kawasan tersebut, semakin besar longkang dibina bagi menyokong kapasiti air hujan.

Longkang juga kadang kala dijadikan pemisah sempadan sesuatu kawasan. Jambatan mahupun laluan kecil menjadi penghubung kawasan. Konsep ini seolah sama seperti istana zaman dahulu di mana ianya dikelilingi dengan air bagi mengelak musuh datang.  

Longkang merupakan satu tempat yang menarik dan sering dipandang rendah. Setiap orang mempunyai memori mengenainya.

Longkang; tempat di mana kita belajar melangkah atau lompat dengan jauh sewaktu kecil.
Longkang; tempat di mana menjadi “litar” kita bermain lumba bot.
Longkang; tempat di mana kita mencari dan menangkap ikan seperti ikan gupi, sepat mahupun haruan.

Yang pasti, jatuh longkang (tidak kira longkang itu kecil atau besar), kita semua pernah lalui.